Skip to main content

Andi pernah diejek Suneo Doraemon

Gara-gara potongan rambut yang digayakan suatu ketika dahulu, penyanyi Andi Bernadee, 26, mendedahkan dia pernah diejek oleh rakan-rakan kerana mempunyai iras watak Suneo yang terdapat dalam komik popular Jepun iaitu Doraemon.

Bahkan katanya, gelaran tersebut melekat agak lama dengannya sehinggalah dia berpindah menetap di Kuala Lumpur dari Kota Kinabalu, Sabah untuk mencari pekerjaan setelah tamat belajar.

"Suneo adalah gelaran dalam kalangan kawan-kawan di kampung halaman. Jadi, apabila duduk di KL, tiada siapa yang mengetahui tentang perkara itu sebab saya gunakan nama Andi.

"Dulu, ramai yang kata muka saya macam Suneo. Entahlah, saya pun tak tahu sama dari segi apa. Ada yang kata bibir, ada juga yang kata rambut. Senang cerita bahagian kepala mirip watak Suneo.

"Bagaimanapun, saya tak pernah marah dengan keadaan itu. Tak ada rasa apa-apapun. Bangga pun ada sebab ada nama gelaran.

"Lainlah kalau membawa maksud yang tak baik, baru boleh marah. Ini tidak. Jadi saya okey sahaja," katanya.
Baru melancarkan single Tiada Lagi Maaf, pemuda Borneo itu popular menerusi klip video Tak Tun Tuang yang tular baru-baru ini.

Menurut Andi, dia tidak sangka sambutan yang diterima terhadap video berkenaan mendatangkan tuah terhadap karier nyanyian yang baru diceburi lebih setahun lalu.

Comments