Skip to main content

Bayang, Jampi, Aku Cinta antara 12 lagu terbaik bakal berentap di AJL32

'JAMPI' dendangan Hael Husaini diumumkan antara 12 lagu yang layak ke pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), malam tadi.

Mengiringi lagu berkenaan ke pertandingan berskala besar itu nanti ialah Sejati - Faizal Tahir, Tergantung Sepi - Haqiem Rusli, Separuh Matiku Bercinta - Dayang Nurfaizah, Amboi - Altimet, dan Lebih Sempurna - Syamel.

Tidak ketinggalan berentap di pentas berprestij ialah Aku Yang Sebenar - Hazama, Akhirnya Cinta - Salma, Menahan Rindu - Wany Hasrita, Aku Cinta - Syamel & Ernie Zakri, Bayang - Khai Bahar, Warkah Untuk Mu - Ara Johari.

Pertandingan separuh akhir menyaksikan 30 karya dipertandingkan menampilkan juri profesional diketuai oleh Dato Mokhzano Ismail, selain itu AG Coco, Azmeer, Edrie Hashim, Helen Yap, LY dan juga Pak Ngah.

Dua minggu berturut-turut yang lalu sebanyak 20 buah lagu dipersembahkan manakala berbaki 10 lagi menghangat pentas SFMM32 bertempat di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Dalam pada itu penyanyi, daripada kumpulan 6ixth Sense (Tanpa & Khatimah Cinta), Bunkface dan Tam Spider (Relaku Pujuk, Situasi, Aladdin, Revolusi) menghiburkan peminat sebelum keputusan diumumkan.

SFMM32 yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 menampilkan pasangan Hefny Sahad dan Sherry Alhadad sebagai pengacara.

AJL 32 bakal berlangsung pada bulan Februari di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Comments