Skip to main content

Kenapa Ayie Floor88 & Zera Hariz 'Musuh Bertujuh'?

Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mementaskan sebuah teater klasik bertajuk Musuh Bertujuh serta menganjurkan bengkel teater boneka pada pada bulan Disember 2017.

Program-program teater ini dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah serta dibantu oleh pelajar-pelajar Fakulti Teater sebagai keperluan dalam proses pembelajaran pelajar fakulti.


Teater Klasik Musuh Bertujuh diarahkan oleh Ahmad Yatim. Pementasan ini adalah olahan dan terjemahan beliau dari karya asal SEVEN AGAINST THEBES karya Aeschylus dan ANTIGONE karya Sophocles.

Beliau yang juga merupakan pensyarah dan pernah, memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam FFM ke-2  menerusi filem Abang (1981), Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-3 menerusi filem Pemburu (1982) telah mengadaptasikan naskhah ini ke pentas bersesuaian dengan objektif dalam memperkenalkan karya klasik Inggeris kepada khalayak.

Produksi teater klasik (ATE5714) ini menampilkan pensyarah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda tahun 2, sebagai penilaian akhir bagi kursus subjek wajib fakulti. Musuh Bertujuh akan dipentaskan pada 8 - 10 Disember 2017 di Black Box ASWARA.

Produksi ini turut menampilkan Ayie Ilham pelajar Ijazah Teater Tahun 2 (penyanyi utama kumpulan Floor 88) dan pelajar Diploma Tahun Akhir Zera Hariz yang mula dikenali menerusi drama Pinggan tak Retak Nasi Tak Dingin.
SINOPSIS
MUSUH BERTUJUH adalah satu olahan dari gabungan dua skrip tragedi asal terkenal, oleh penulis terkenal Greek: Seven Against Thebes karya Aeschylus dan Antigone karya Sophocles. Ia menceritakan kesudahan tragis kepada ketiga-tiga anak Oedipus: dua puteranya, Eteocles dan Polynieces serta puteri Antigone. Anak keempat, puteri  Ismene, juga berakhir dengan mengerikan. Dia telah dibunuh. Tragis ini menghapuskan seluruh zuriat Oedipus. Sebelum itu isterinya, Jocasta telah mati menggantung diri dan Oedipus pula mati dalam buangan.

MUSUH BERTUJUH bermula dengan serangan bala tentera Argive, pimpinan Polyneices dengan sokongan enam orang jeneral, yang kembali ke Thebes untuk menuntut hak pemerintahan dari abangnya Eteocles yang melanggar janji serta arahan bapa mereka, Oedipus bahawa Thebes harus diperintah secara bergilir-gilir oleh mereka dua beradik selepas dia melepaskan kuasa pemerintahan. Dalam peperangan yang berlaku, kedua-dua mereka telah terbunuh, oleh tangan mereka sendiri

Antigone, adik perempuan mereka, atas nama kasih pada saudara kandung sendiri telah menentang perintah keras raja baharu Thebes, Creon yang telah memberi arahan supaya mayat Polynieces dibiarkan sahaja terlantar di medan perang tanpa dikebumikan untuk dibaham oleh burung-burung dan anjing-anjing liar kerana kesalahan memerangi negara sendiri. Antigone telah ditangkap ketika sedang menyiram bersih mayat Polynieces, dan, waktu dalam kurungan, dia telah mengantung diri.

Penterjemah, Olahan dan arahan:           Encik Ahmad Yatim, Pensyarah Fakulti Teater
Masa:                                                 8 – 9 Disember 2017, 8.30 malam
                                                            9 – 10 Disember 2017, 3.00 petang,
Tempat:                                             Black Box, ASWARA
Tiket:                                                  RM20 (Umum), RM10 (Pelajar)
Untuk pertanyaan lanjut hubungi
010 285 7873 / 019 6273326
Fasyali Fadzly’/ Shahrul Mizad (EIJAT)
Hal Ehwal Korporat
Fakulti Teater
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)

Comments