Skip to main content

Fariz beri amaran kepada finalis MPM2018

Dipilih sebagai finalis program pencarian bakat popular Mister Planet Nation Malaysia 2018 (MPM2018), Muhammad Fariz Mohd. Efendy, 22 atau nama pentasnya Fariz Efendy akui berdebar melihat 15 pesaing lain yang punyai kekuatan tersendiri.

Meskipun mempunyai saiz fizikal paling kecil berbanding finalis lain yang rata-ratanya bertubuh sasa, bagaimanapun Fariz enggan menjadikan faktor tersebut sebagai alasan untuknya mengalah sebelum kalah.

"Ya, secara zahirnya tubuh badan saya memang kecil. Namun, itu tidak melemahkan semangat saya untuk memberi saingan kepada peserta lain.

"Ada banyak masa lagi sebelum acara kemuncak pada 29 April nanti untuk memperbaiki setiap kekurangan. Saya akan memanfaatkan peluang ini dengan memberikan komitmen 100 peratus.

"Insya-Allah, saya akan cuba menambah berat badan sekali gus mendapatkan saiz ideal untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan peserta lain. Ini janji saya dan amaran kepada peserta lain," tegasnya secara eksklusif kepada Sensation2u.
BACA: Terpaksa Tarik Diri, Que Sedih Berganda
Dipertanggungjawabkan mewakili Negeri Jelapang Padi selaku Mister Kedah, pemuda yang aktif bermain bola sepak itu menjadikan platform MPM2018 sebagai batu loncatan untuk meneroka bidang seni yang diimpikan sejak di bangku sekolah lagi.
Fariz Efendy kanan bersama rakan baiknya Khaza Rasing
Tambahnya, dia mendapat dorongan daripada seorang rakan baik yang juga finalis MPM2016 iaitu Mister Labuan, Khaza Rasing.

"Khaza adalah teman sepermainan saya dalam sukan bola sepak di bawah pasukan Sagawolf FC dan dialah yang memberi galakan serta menyuruh saya mencuba nasib dalam bidang ini.

"Jadi, saya intai peluang tersebut dengan menyertai sesi uji bakat yang diadakan pada Disember lalu. Mulanya gagal bolos ke peringkat seterusnya, namun pihak penganjur memberikan peluang kedua," ujarnya teruja.
Fariz yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu dibawa masuk sebagai finalis bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh wakil Kedah terdahulu, Que Yusri yang terpaksa mengundur diri gara-gara dipindahkan kerja ke Utara Semenanjung.
Berketinggian 175 sentimeter, Fariz menjelaskan selain mahu menimba pengalaman dalam bidang peragaan dan lakonan, dia melihat MPM2018 adalah kaedah terbaik untuknya mengetahui kemampuan diri.

Menurutnya, berdasarkan jadual yang telah diberikan oleh penganjur, kelas dan aktiviti yang disediakan adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan pengalaman baharu buatnya.

"Saya harap dapat lakukan yang terbaik dan mampu membuktikan sesuatu kepada semua pihak termasuk keluarga dan rakan-rakan yang mengenali saya," katanya.

Comments