Skip to main content

Kisah Suka Duka Farhan Mustapha Dalam ‘Wayang’

Bekas Bintang TV Realiti Muncul Dengan Single Sulung Yang Bakal Menyemarakkan Persada Muzik Tanah Air.

Penyanyi lelaki bersuara lunak yang berasal dari Kuantan, Pahang dan memulakan perjalanan seninya sebagai salah seorang finalis pertandingan nyanyian Bintang RTM pada tahun 2012, Mohd Farhan Mohd Mustapha, 21, atau lebih dikenali dengan nama Farhan Mustapha akhirnya muncul dengan single sulung setelah beberapa tahun memperjuangkan nasib sebagai seorang penyanyi di dalam industri muzik Malaysia.

Single sulung Farhan yang berjudul ‘Wayang’ merupakan hasil ciptaan beliau sendiri dan turut berkolaborasi dengan penyanyi serta komposer muda berbakat besar Jiwa Firdaus dan Ammar Jai.

Kemudian, pada tahun 2016 Farhan sekali lagi muncul di dalam pertandingan nyanyian Bintang RTM di mana beliau mempamerkan kebolehan yang dimiliki sebagai seorang penyanyi yang versatil dengan menyampaikan lagu pelbagai genre dan ketika itulah bakatnya mula terserlah dan mendapat perhatian umum.
BACA: Sheila On 7 - Live In Kuala Lumpur 2018
Farhan yang sinonim dan lebih selesa menyanyikan lagu-lagu bergenre balada turut merupakan salah seorang peserta program televisyen realiti Mentor Milenia 2017 baharu-baharu ini.
“Sebagai seorang penyanyi, kita perlu mencabar diri sendiri dengan mencuba pelbagai genre muzik seperti pop, rock, jazz dan bermacam lagi kerana dunia muzik itu luas dan banyak yang perlu diterokai.

"Namu begitu, saya akur bahawa kemampuan saya lebih menjurus ke arah lagu-lagu yang bergenre balada.

"Single ‘Wayang’ merupakan sebuah lagu yang menceritakan tentang kisah penipuan dalam sesetengah hubungan percintaan di mana pasangannya samada lelaki ataupun perempuan hanya berlakon atau berpura-pura seolah-olah bermain ‘wayang’ semata-mata demi menunjukkan perasaan cinta kepada pasangannya dan akhirnya kesemua tembelangnya itu pecah dan ternyata apa yang dipamerkan hanyalah dusta dan kemudian menyedari bahawa semua yang dilalui ibarat sebuah ‘wayang’.
BACA: Ego Mutalib Bertempat, Tidak Mahu Main-Main
"Kita semua pernah melalui alam percintaan, tua, muda, tidak kira yang kaya atau kurang berada turut mengalaminya.

"Sebelum menjalinkan hubungan percintaan dengan seseorang, kita perlu selami hati budi pasangan kita agar tidak terhanyut dengan ‘wayang’ yang dipamerkan dan akhirnya memakan diri sendiri.

"Idea asal lagu ‘Wayang’ ini datangnya dari saya sendiri dan pada masa yang sama juga saya mendapat bantuan abang serta sahabat saya iaitu saudara Jiwa Firdaus dan Ammar Jai.

"Hampir dua minggu kami berbincang dan bertukar-tukar pendapat bagi memastikan ‘Wayang’ menjadi sempurna sebelum melalui proses rakaman yang memakan masa selama sebulan dengan tunjuk ajar serta  susunan oleh komposer disegani iaitu saudara AG Coco.

"Saya berasa amat bersyukur dan sangat teruja apabila pihak Rocketfuel Entertainment menyatakan hasrat mereka untuk menjadikan saya sebagai artis di bawah naungan mereka kerana kepercayaan yang diberikan terhadap bakat nyanyian saya.

"Selain itu, saya juga turut berharap agar single ‘Wayang’ ini dapat diterima baik oleh peminat-peminat lagu bergenre balada tempatan dan semoga single sulung ini membuka jalan serta ruang untuk saya memulakan karier sebagai seorang penyanyi profesional,” jelas Farhan.

Menurut Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records,

“Farhan merupakan seorang penyanyi muda yang sangat berdedikasi, bermula sebagai peserta TV realiti dari tahun 2012 sehingga 2017 menunjukkan kesungguhan beliau untuk terus mewarnai industri muzik tanah air.

"Saya suka semangat yang ditonjolkan Farhan kerana bukan sahaja beliau mempunyai suara yang bagus, tetapi juga berbakat sebagai komposer dan saya percaya dengan bakat serta kesungguhan yang dimilikinya kerana dia mampu pergi jauh jika sentiasa fokus dan selalu mahu memperbaiki diri pada masa akan datang.

"Saya juga berharap agar ‘Wayang’ menjadi episod pengenalan Farhan kepada penggemar-penggemar muzik tempatan dan bakal menjadi pelapis penyanyi Malaysia pada satu hari nanti,” katanya.
Lagu ‘Wayang’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik ‘Wayang’ ini juga boleh ditonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Comments