Skip to main content

Tip! Ujibakat DFKL2018 Ini Bakat Yang Dicari

Hari pertama pencarian bakat dan wajah baharu pada Jumaat, semalam, telah pun berakhir dengan menyaksikan beberapa peserta ujibakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL2018) tampil dengan cemerlang.

Hebat juga persembahan bakat warga Johor Bahru ini, para peserta dilihat penuh dengan kesungguhan.

Selaku Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Puan Siti Nurlisia berkata dalam sesi ujibakat itu para peserta mestilah mampu menyerlahkan pelbagai karakter.

"Antaranya seperti watak yang penyayang, watak antagonis sebagai contoh seorang yang panas baran atau apabila bercakap kata-katanya pedas.

"Jadi tak perlu menjerit, cukup sekadar bercakap namun kata-kata yang dilontarkan memberikan kesan yang mendalam.

"Jadi permainan perwatakan itu sebenarnya yang penting," ujarnya ketika ditemui di Paradigm Mall, Johor Bahru.
BACA: "Orang Melayu Dah Mula Sedar" - Azri Khairuddin
Pada masa yang sama, menurut pelakon dan pengarah terkenal yang juga bertindak sebagai juri, Sheila Rusly, 46, mahu melihat peserta yang hadir tampil siap.

"Saya mahu peserta yang bertenaga, tahu apa yang cuba untuk dipersembahkan kepada juri.

"Malah, jalan cerita dan watak sudah siap sedia dalam minda peserta," ujarnya ringkas ketika menilai para peserta yang sedang beraksi.

Untuk info tambahan buat bakal yang menghadiri sesi ujibakat pada hari terakhir, 24 Februari (Sabtu), ketika beraksi pastikan anda pandang kamera dan peka dengan situasi spontan yang diberikan.

Seterusnya, jangan teragak-agak untuk memilih watak. Ini termasuklah jika mahu memilih artis sebagai pelakon gandingan dalam menghidupkan watak anda.

Memasuki penganjuran kelima, antara duta-duta DFKL yang menjayakan program ini disertai oleh Syazuwan Hassan dan Pauline Tan.

Para pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra bersama barisan artis popular seperti Izzue Islam, Ashraf Muslim, Hafidz Roshdi, Azira Shafinaz, Janna Nick, Bell Ngasri, dan heroin drama slot Akasia berjudul "Tiada Arah Jodoh Kita", Aprena Manrose.

Selain aktiviti ujibakat, jika anda mempunyai idea-idea menarik untuk dikongsikan boleh bentangkan kepada Datuk A. Aida selaku juri pembentangan idea.

Ini kerana karya yang menarik berpeluang untuk diangkat sebagai pemenang serta diterbitkan menjadi drama, tak rugi kalau nak mencuba.

Jika segan nak ujibakat, jangan bimbang sertai bengkel yang disediakan untuk mengasah bakat lakonan mahupun penulisan kreatif anda bermula 31 Mac dan 1 April 2018, tiket boleh dibeli di setiap lokasi siri jelajah DFKL 2018.

Tiket Rm60 untuk sehari dan Rm100 untuk dua hari.

InsyaALLAH. Harap anda yang hadir berjaya. Jadi hadirkan diri anda seawal jam 10 pagi.

Siri jelajah seterusnya pada 3 dan 4 Mac bertempat di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.

Comments

  1. Masa bengkel nanti boleh ujibakat juga ke ? Atau ujibakat hanya pada tarikh yg tertera

    ReplyDelete

Post a Comment