Skip to main content

Nonny Nadirah sah isteri kepada Mustain

Bintang Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Nonny Nadirah Zainuddin, 29, sah diijabkabulkan dengan Mohamed Mustain Mohamed Adnan, 36, dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan kira-kira pukul 11.30 pagi, di Kota Kinabalu, Sabah.

Dihadiri seramai 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak, Mustain yang juga seorang penolong penerbit di Media Prima Berhad itu menyediakan lima dulang hantaran, manakala Nonny pula membalas tujuh dulang hantaran.

Upacara pernikahan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Agama Istana Negeri Sabah, Imbran Angun dengan berwalikan hakim dan hanya sekali lafaz, Nonny sah milik Mustain.

Pelakon siri Melankolia yang sedang disiarkan di TV3 itu memberitahu, dia mengenali Mustain, pada 2009 dan menerima lamaran pasangannya di set penggambaran drama berkenaan pada 25 Januari lalu.

“Detik perkenalan kami bermula setelah kami mempunyai seorang kawan yang saling mengenali antara satu sama lain.

“Sejak itu, hubungan kami menjadi akrab dan rapat meskipun ada turun naiknya,” ujar Nonny ringkas.

Comments