Ia seperti sesuatu yang tertunda, namun kini
umpama armada membelah samudera, Padi, kumpulan yang cukup dipuja banyak
penggemar baik di Indonesia atau Malaysia dan Singapura,
kembali mengemudi arah mereka dengan jelas.
Mengguna pakai nama Padi Reborn, sesuai dengan
'siri vakum' tujuh tahun mereka dan kini aktif mengganas semula, kumpulan yang
masih tetap pada formasi yang sama iaitu Piyu
(Gitar), Fadly (Vokal utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) mahu
'memeriksa' adrenalin para Sobat Padi di Malaysia adakah
masih antusias terhadap mereka atau sebaliknya.
Mereka seperti terlahir semula. Maka dengan
itu, buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Padi sejak tahun 1997
kumpulan tersebut akan mengadakan konsert perdana
mereka Padi Reborn Exclusive Live In KL yang
dijadualkan berlangsung pada 30 Jun 2018.
Ia ternyata bukan sesuatu yang asing untuk
mereka kembali menguasai pentas dan menghiburkan dahaga Sobat Padi, namun
berdiri semula diatas nama Padi Reborn, dengan usia
yang sudah menuai manis matang, kumpulan yang berasal dari Surabaya itu
menjanjikan nikmat yang tidak sedikit untuk diraikan.
Deretan hit klasik seperti Mahadewi, Sesuatu
Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai pasti
akan diperdengarkan. Tidak sekadar itu, Padi Reborn
menjanjikan hal yang lebih luar biasa buat Sobat Padi.
"Kami berasa cukup terharu dan senang sekali
kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert
solo kami akan dipersembahkan. Persembahan di Malaysia ini
juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah
menyokong kami biar pada saat Padi vakum dan kini kembali.
Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang dan bergembira bersama
menyanyikan lagu-lagu Padi" ujar Piyu.
Dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd,
Pengarah Urusan syarikat tersebut, Iqbal, lebih berbesar hati kerana lamarannya
untuk membawa Padi Reborn masuk ke Malaysia menerima kata sepakat yang
baik daripada kumpulan tersebut. Sementelah, ini merupakan konsert sulung dan
solo Padi Reborn yang begitu 'mahal' dan eksklusif
sejak penubuhannya untuk beraksi di Malaysia.
Menurut Iqbal, sesuai dengan rangka promosi
semula Padi Reborn sendiri di Indonesia, beliau mengambil kesempatan dan berasa
adalah amat sesuai dan 'cantik' sekiranya Padi Reborn
singgah beraksi di Malaysia juga.
"Kami amat maklum sejak Padi Reborn
kembali aktif sekitar Februari lalu, adalah sesuatu yang menarik sekiranya
kumpulan ini dapat beraksi di Malaysia.
"Selain begitu sukses dan popular dalam
belantika muzik Indonesia, saya percaya Padi Reborn mempunyai pengikut atau
Sobat Padi yang setia dan terlalu merindukan aksi pentas
secara langsung mereka di sini. Maka, Qew Comm dengan bangganya membawa Padi
Reborn
Exclusive Live In KL khusus buat anda semua,"
ujar Iqbal penuh teruja.
Sementara itu, kumpulan Pitahati akan menjadi
band undangan yang pastinya bakal memberi sebuah persembahan tidak kalah
hebatnya.
Mengaku membesar bersama karya Padi, Pitahati
yang masih ligat mempromosi karya terbaharu mereka, Selamat Datang Ke Panggung
Suara memberitahu adalah satu penghormatan apabila
diberi peluang menjadi band pembuka Padi Reborn yang sudah hampir 10 tahun
tidak beraksi di Malaysia.
Pada konsert tersebut, Pitahati yang terdiri
daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat bakal membuat peminat khayal
dengan untaian genre nusantara rock-avant garde
mereka.
Sebagai informasi, Padi mempunyai lima studio
album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul
(2003),
Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007).
Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang
dipasarkan pada tahun 2011.
Tidak sekadar mempunyai lima buah studio album
yang kukuh dan membariskan hit yang luar biasa, kewujudan Padi tidak sekadar
sebuah kumpulan
muzik yang 'kosong' apabila menerima banyak pengiktirafan termasuk Best
Favourite Group from Indonesia pada MTV Asia 2001,
Kumpulan Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2001 selain menerusi album
Sesuatu Yang Tertunda, Padi memperoleh Triple
Platinum dari Sony Music Malaysia dan pada
tahun 2004, album Save My Soul dinobatkan sebagai Album terbaik pada Anugerah
Planet Muzik dan Duo/Kumpulan Terbaik dalam anugerah
yang sama.
Terdahulu, Padi pernah bergabung dengan
beberapa kumpulan tenar dari Indonesia yang lain termasuk Dewa 19 dan Gigi
dalam konsert Pesta Malam Indonesia 3.
Tiket-tiket untuk menikmati untaian indah Padi
Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun depan sudah mula dijual dengan harga
early bird RM149 atau RM179 untuk standard (Platinum)
dan sesi meet and greet pula bagi early birds (RM249) atau RM290 untuk
standard.
Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.
PADI REBORN EXCLUSIVE LIVE IN KL dianjurkan oleh Qew
Communications Sdn Bhd
INFO
Tarikh:
30 Jun 2018, Sabtu
Masa:
8 malam
Lokasi: KL
Live Kuala Lumpur
Harga
tiket: Meet & Greet RM290 (early bird RM249)- untuk 100 pax
Platinum RM179 (early bird
RM149)
Platform
social media- IG: @padireborn_liveinKL
FB:
Padi Reborn Exclusive Live In KL
YouTube: Padi Reborn Exclusive Live in KL
Comments
Post a Comment